Ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas, melontarkan cabaran untuk Malaysia meraih sekurang-kurangnya lima pingat emas dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 selepas Datuk Karim Ibrahim berjaya mengekalkan jawatan presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk penggal 2016-2018.

Jawatan tidak bermakna jika gagal meraih kejayaan pentas antarabangsa. Itu cabaran buat KOM selepas jawatan presiden dan timbalannya tidak dicabar dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), 19 November ini.

Zainal berkata pencapaian tiga emas yang diraih kontinjen negara dalam Sukan Sea Singapura tahun lalu perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya kepada lima emas dalam temasya itu tahun depan.

“Dengan adanya mandat baru kepada Datuk Karim dan Datuk S.M. Muthu (timbalan presiden), saya berpendapat atlet-atlet lebih tenang menjalani latihan dan program-program yang telah disusun dapat dijalankan secara berterusan.

"Sasaran pingat emas di Sukan Sea sekurang-sekurangnya adalah lima emas tetapi segalanya bergantung kepada prestasi atlet," kata Zainal.

Lima emas bukan sesuatu yang mustahil berdasarkan peningkatan sukan di dalam trek yang diketuai pemegang rekod 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan.

Atlet acara padang seperti Nauraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang) dan Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) juga dijangka tiada masalah untuk mempertahankan emas.