Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, mengharapkan tuah lebih menyebelahinya untuk melakukan kemunculan pertama dalam Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia, tahun depan.

Zaidatul kini tampak mudah untuk meraih slot ke Sukan Asia 2018 dan menerusi catatan peribadi 11.45 saat yang dipegang, dia sudahpun melepasi catatan pemegang pingat emas Sukan Asia Incheon 2014 yang diraih pelari dari Kazakhstan yang mencatat 11.48saat.

Menerusi congakan biasa, Zaidatul sudah berjaya mengikut jejak langkah pelari terdahulu, G. Shanti, yang pernah membuat kemunculan dalam Sukan Asia Bangkok pada 1998.

“Mungkin ini adalah pertama kali buat saya untuk ke Sukan Komanwel atau Sukan Asia. Ia boleh jadi satu pengalaman sekiranya dapat pergi tetapi saya tidak mahu terlalu berharap.

“Saya hanya mahu fokus kepada sesi latihan,” katanya.

Bagi kemunculan dalam Sukan Komanwel, Zaidatul perlu melepasi sasaran 11.21 saat untuk mencapai syarat kelayakan dengan tempoh yang masih berbaki kurang daripada lima bulan.

“Jika dapat mewakili negara ke sana, bagi saya itu sudah jadi sesuatu yang bernilai.

“Sudah tentu saya mahu melakukan catatan dan larian yang terbaik kerana akan bersaing dengan pelari-pelari terhebat Asia dan Komanwel,” katanya.