Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, meminta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menjelaskan status jurulatihnya, M. Balamurugan, selepas badan induk itu hampir pasti mengikat kontrak pengendali dari Amerika Syarikat.

Skuad pecut negara tidak dimaklumkan mengenai pelan membawa masuk David Patrick ke Malaysia.

Mereka tidak menolak perubahan, cuma mahu KOM menerangkan mengenai perancangan dan kedudukan Balamurugan.

Ada antara mereka sudah hampir sedekad berlatih di bawah Balamurugan, terutama Zaidatul, hingga layak ke Sukan Olimpik Rio 2016 dan separuh akhir Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.

"Jurulatih luar negara belum tentu kekal untuk jangka masa panjang. Saya berharap Balamurugan kekal dalam barisan kejurulatihan skuad negara," kata Zaidatul.

Patrick layak ke final acara 400m berpagar Sukan Olimpik Barcelona 1992.

Beliau memiliki pengalaman 16 tahun sebagai jurulatih dan akan mengendalikan pelari pecut dan berpagar negara.

Ketika ini, skuad pecut dibimbing Balamurugan dan Mohd Poad Kassim sementara berpagar di bawah Ithnin Mahadi.

"Kami boleh mempelajari ilmu daripada jurulatih lain. Mereka memiliki pendekatan yang berbeza," kata atlet pecut negara, Norris Foo.

"Jika Patrick hadir ke Malaysia melatih skuad negara, ia adalah satu kelebihan buat atlet negara dan kami turut dapat meraih pengalaman baru," kata Balamurugan.