Zaidatul mahu tangani tekanan dengan lebih baik

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2018 114
Zaidatul mahu tangani tekanan dengan lebih baik
Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, mahu mengubah prinsip untuk lebih tenang menghadapi tekanan ketika beraksi tahun depan dengan menganggap musim yang cukup mencabar telah dilaluinya pada tahun 2018 ini.

Banyak cabaran telah dilalui Zaidatul tahun ini dengan penyertaannya dalam Sukan Komanwel Gold Coast tanpa jurulatih, M. Balamurugan, selain tekanan berterusan untuknya cuba melebur rekod kebangsaan milik G. Shanti, 11.50 saat, yang masih tidak kesampaian.

Ternyata Zaidatul bergelut untuk melalui kesukaran yang dihadapi bagi meraih pencapaian positif dengan tekad ingin lebih matang mengatasi tekanan lebih besar tahun depan.

Apatah lagi, pelari berusia 25 tahun itu menyedari sandaran tinggi sering diletakkan di bahunya selaku ratu trek negara.

"Kekuatan fizikal dan mental perlu dipertingkatkan dan Sukan SEA 2019 adalah kejohanan utama yang perlu saya memastikan dapat menampilkan persembahan terbaik," katanya.

Tiada lagi kejohanan kompetitif untuk Zaidatul tahun ini dengan kali terakhir beraksi adalah dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Pemantapan fizikal dalam latihan paling diutamakan ketika ini sebelum bersedia dengan program baru yang dirangka, tahun depan.

"Banyak lagi teknik larian serta kekuatan fizikal yang perlu dipertingkatkan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen