Bukan ingin bersikap sambil lewa tetapi pemanah compound para negara, Yuhaizam Yahya, mahu mengambil pendekatan sederhana dalam Kejohanan Sirkit Akhir Kebangsaan 2016, bermula Isnin ini.

Kejohanan itu adalah sebahagian persiapan awal skuad negara untuk menghadapi temasya Sukan Para Asean 2017 Kuala Lumpur.

Menyedari hakikat itu, Yuhaizam mahu mengatasi kekurangan yang sedia ada terlebih dahulu susulan pembabitannya dalam Sukan Paralimpik Rio, September lalu.

Dia yang merupakan antara peserta pilihan dalam saingan kali ini, bagaimanapun, mengakui belum berada di tahap terbaik untuk memburu kejuaraan.

"Mana-mana kelemahan yang dikenal pasti, kami akan memberi tumpuan terhadapnya perlahan-lahan.

"Sekarang ini, bukan tidak mahu memberikan segala-galanya tetapi kami mahu bertenang dahulu. Tenang bukan maksud tidak bersungguh-sungguh, kami nak cari prestasi terbaik, jadi kami mesti cari rentak," katanya.

Dalam pada itu, Yuhaizam juga tidak terlalu memikirkan reputasinya selaku juara bertahan acara compound individu dalam Sukan Para Asean 2017 nanti.

Jelasnya, skuad compound ketika ini lebih kukuh, namun tidak ingin melihat situasi itu menjadikan barisan pemanah negara berada di satu tahap yang terlampau selesa.

"Yang penting bagi saya, Malaysia dapat emas tak kira siapa. Kami memang antara yang terbaik di Asean tetapi siapa-siapa boleh menang," tambahnya.

Sukan Para Asean edisi kesembilan akan akan diadakan selepas Sukan Sea 2017 pada 17-23 September tahun depan.