Legasi bekas jaguh lompat bergalah negara, Roslinda Samsu, kian pudar ketika penggantinya, Chuah Yu Tian, terus dibelenggu kesuraman prestasi sepanjang tahun ini.

Yu Tian yang dicanang mengisi kekosongan Roslinda sebelum ini kian tenggelam ekoran prestasi mengecewakan dalam dua kejohanan kompetitif sejak Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Yu Tian gagal menyerlah dalam Kejohanan Jemputan Korea Selatan, Mei lalu, dan prestasi terburuk dipamerkannya dalam Terbuka Kuala Lumpur dengan gagal melepasi sebarang ketinggian, Ogos lalu.

"Perkara positif adalah saya mendapat pendedahan beraksi dalam Sukan Komanwel yang jelas memuaskan hati saya.

"Perkara negatif adalah saya tidak dapat menghasilkan catatan peribadi yang baru kerana kekurangan kejohanan sebelum itu," kata Yu Tian.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu mengakui belum pulih daripada kecederaan buku lali kiri dan hanya bergantung kepada suntikan doktor kerana tidak mahu berdepan risiko pembedahan.

"Kecederaan itu sudah lama dan saya sudah lali.

"Jika terlampau sakit, saya akan mendapatkan suntikan daripada doktor kerana saya tidak mahu menghadapi pembedahan yang akan mengambil masa yang lama untuk pulih," jelasnya.