Di kala Malaysia ketandusan bakat dalam sukan lompat bergalah, atlet negara, Chuah Yu Tian, berharap pendedahan di peringkat akar umbi dapat membantu pembangunan sukan itu.

Seperti yang disuarakan bekas jaguh negara, Roslinda Samsu, semalam, Yu Tian turut berpendapat bahawa atlet pelapis skuad kebangsaan masih berada jauh di belakang untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.

Untuk megatasi situasi itu, dia berharap agar sukan berkenaan dapat diperkenalkan dengan secukupnya seawal peringkat sekolah rendah.

"Kalau mahu mencari lebih banyak bakat, kita perlu mempromosikan acara ini.

"Sebabnya, di Malaysia kalau kita bercakap mengenai sukan lompat bergalah, tidak ramai yang mengenalinya.

"Apabila tidak ramai yang mengenalnya, tidak ramai yang akan berminat," katanya.

Yu Tian turut menegaskan senario dalam sukan lompat bergalah di Malaysia amat berbeza jika dibandingkan dengan acara olahraga lain seperti pecut.

"Sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, selepas saya memenangi pingat perak, baru ramai pelajar sekolah mula bertanyakan kepada saya mengenai acara ini.

"Sebelum ini, mereka tidak pernah tahu mengenai acara ini.

"Mereka mula berminat untuk mengetahui dan menceburi sukan ini," tambahnya.