Atlet lompat bergalah, Chuah Yu Tian, 24, tidak kekok membahagikan masa belajar dan tugasannya selaku atlet, malah dia menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan milik Roslinda Samsu dalam tempoh dua tahun ini.

Atlet kelahiran Taiping, Perak itu mengidam untuk meraih gelaran ratu lompat bergalah yang baru, namun syarat utama yang perlu dipenuhinya adalah memecahkan rekod kebangsaan, 4.40m, milik Roslinda ketika dia terpaksa bertungkus-lumus dengan pelajarannya.

Terpaksa membahagikan masa di antara belajar dan memenuhi jadual latihan yang padat, penyumbang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu dalam persediaan seterusnya untuk memperbaharui rekod peribadinya, 3.80m.

Walaupun belum ada sebarang kenyataan rasmi mengenai penyertaannya dalam Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April tahun depan, Yu Tian tidak mahu membuat persediaan pada saat-saat akhir.

"Impian (perbaharui rekod kebangsaan) itu ada tetapi saya tidak boleh kata pada tahun depan. Jurang itu masih ada.

"Saya hanya perlu melakukan yang terbaik dan diharapkan ia boleh berlaku dalam tempoh beberapa tahun ini. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan," katanya.

Bermula dengan sukan gimnastik ketika berusia tujuh hingga 12 tahun, Yu Tian semakin selesa dalam bidang barunya, iaitu lompat bergalah yang diceburi sejak tujuh tahun lalu.

Mengakui sedikit terlambat, namun itu bukan alasan untuk dia tidak menyerlah dalam tempoh terdekat.

"Perasaan ketika melakukan lompatan semakin baik dan kekuatan bahagian atas badan juga (baik).

"Saya memang kerap menjalani latihan di gimnasium untuk menguatkan bahagian itu," tambahnya.