Pengerusi Yayasan Sime Darby (YSD), Tun Musa Hitam, mengumumkan tajaan RM2.6 juta kepada enam pelumba muda untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, dengan Institut Sukan Negara (ISN) diamanahkan sebagai pihak menguruskan dana itu.

YSD meneruskan komitmen terhadap skuad berbasikal trek negara susulan kejayaan Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa dalam Olimpik Rio 2016, baru-baru ini.

Kali ini, enam pelumba muda terpilih menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih, John Beasley, membabitkan dana RM2.6 juta untuk tempoh dari Februari 2017 hingga Ogos 2020.

Apa yang menarik, YSD mahu pihak yang menguruskan dana ini lebih berhati-hati selepas Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) diarah membayar semula hampir RM300,000 kerana melanggar perjanjian kontrak. PKBM sedang mengemukakan rayuan untuk kes itu.

"Jika melihat bagaimana cara YSD mentadbirkan dana, kami sangat tegas dan kami mempraktikkan tahap yang tinggi.

"Apabila berlaku perkara yang bertentangan, kami perlu mengambil tindakan," jelas Musa Hitam.

YSD juga mengumumkan enam pelumba muda tajaan mereka yang menyaksikan ketiadaan kelibat Azizul dan Fatehah Mustapa.

Kedua-dua pelumba itu tidak menyambung kontrak, namun YSD tetap meneruskan biasiswa terhadap Azizul yang sedang melanjutkan pengajian Ijazah 'Exercise Science and Human Movement' di Universiti Victoria, Melbourne, Australia.

"Seperti mana yang telah kami lakukan bersama Azizul, kami juga akan lakukan kepada pelumba muda ini. Kami akan menjalankannya dengan cepat, mereka akan mendapat guru Bahasa Inggeris yang akan mengajar mereka di Melbourne setiap minggu. Itu antara perkara utama yang akan dilakukan," jelas Beasley.

Sementara itu, pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, berkata: "Saya akan memikul tanggungjawab ini. Tun (Musa Hitam) telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk ke Tokyo 2020.

"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk layak ke Olimpik 2020."