Pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Wendy Ng Yan Yee, disahkan sebagai atlet yang gagal ujian doping oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

Setiausaha ASUM, Mae Chan, mengesahkan berita itu sambil menjelaskan Yan Yee positif doping bagi sibutramine.

Yan Yee menjadi satu-satunya atlet yang tidak disenaraikan untuk beraksi dalam Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) Kuala Lumpur yang bermula esok.

“Yan Yee tidak berada dalam senarai. Ya, kami terpaksa mengakui bahawa dia adalah atlet yang gagal melepai ujian doping sampel A. Kami akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat,” kata Mae.

Dalam masa sama, Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengesahkan bahawa ujian sampel B yang dilakukan di New Delhi, India, juga memberikan keputusan positif.

“MOM telah menerima notis bahawa ujian sampel B sama seperti sampel A dan notis akan diberikan kepada atlet tersebut.

"Keputusan akan dilakukan oleh atlet untuk mengemukakan rayuan atau menerima keputusan tersebut,” ujar Beng Choo.