Penerjun elit negara, Ng Yan Yee, meraih emas pertama negara menerusi acara 3 meter papan anjal wanita dalam Kejohanan Terjun Grand Prix (GP) FINA yang juga kejayaan pertamanya bagi acara individu.

Berhadapan dengan dua peserta dari China, Huang Xiaohui dan Wang Han, Yan Yee tidak menyangka terjunannya hari ini membawa kepada kejayaan pertamanya dalam Grand Prix.

Yan Yee konsisten dalam lima terjunannya untuk meraih 338.25 mata, sekali gus menduduki tempat pertama.

Menurut Yan Yee, dia tidak berada dalam keadaan yang sempurna selain hanya membuat persiapan dalam tempoh sebulan sahaja.

"Saya berasa bangga untuk mendapat pingat emas buat negara. Ini juga merupakan kejayaan pertama saya dalam Grand Prix," ujarnya.

Wang Han dari China terpaksa berpuas hati di tangga kedua dengan 333.60 mata, manakala rakan senegaranya, Huang Xiaohui, di tempat ketiga dengan 322.30 mata.

Sementara itu, dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki, prestasi pasangan Malaysia, Chew Yiwei-Ooi Tze Liang, masih belum cukup untuk menyaingi peserta dari China apabila menamatkan terjunan di kedudukan kedua dengan mengutip 394.71 mata.

Xie Siyi dan Huang Bowen di kedudukan pertama dengan 415.20 mata.