Terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Penganjur Yakult KB City League (Bawah 14 tahun) menjemput semua pemain yang berdaftar dengannya menyertai Cabaran Rakam dan Menang untuk memenangi hadiah wang tunai termasuk barangan penaja.

Penasihat Yakult KB City League, Mohd Zuki Deraman berkata, cabaran yang bertemakan ‘Duduk Di Rumah’ bertujuan menggalakan pemain terus beriadah semasa liga bercuti dan juga sebagai platform merapatkan hubungan Yakult bersama komuniti.

“Pertandingan ini cukup mudah tetapi menawarkan hadiah menarik seperti wang tunai bernilai RM100 kepada 12 pemenang yang akan dipilih oleh juri jemputan berdasarkan video kreatif yang dihantar.

“Setiap penyertaan perlu dimuat naik dalam laman rasmi pasukan yang menyertai liga dan jangan lupa tanda pagar #CabaranDiRumah dan #YakultKBCLeagueChallenge bersama dengan nama pasukan.

“Ingat tarikh tutup penyertaan Selasa ini (14 April) dan saya mengajak semua pemain yang bernaung dalam Yakult KB City Leaugue untuk menyertai cabaran ini.

“Kami juga akan umumkan senarai nama pemenang pada 1 Mei depan dan sebarang maklumat lanjut bolehlah layari laman social facebook yakultkbcityleaugue,” terangnya.

Dalam perkembangan yang sama, Mohd Zuki yang juga Presiden The Red Warriors City Club (TRWCC) mengesahkan liga ini akan disambung sebaik sahaja mendapat pengesahkan daripada pihak yang berkenaan.

“Insya-Allah, kalau keadaan sudah pilih seperti biasa dan kerajaan mengisyitiharkan kejayaan mengatasi Covid-19, liga ini akan disambung semula sebagaimana yang diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini,” jelasnya.

Untuk rekod, edisi sulung kejohanan ini disertai 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dan dijalankan secara liga. Kejohanan anjuran TRWCC dengan kerjasama Yakult (M) Sdn. Bhd serta Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) ini sempat dilangsung selama dua minggu sebelum penganjur membuat keputusan menangguhkan akibat Penularan wabak Covid -19.