Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) meneruskan inisiatif untuk mencari dana berjumlah RM1.5 juta bagi membantu bekas atlet yang sedang dalam kesusahan dengan menganjurkan satu acara larian unik Mac ini.

Berdasarkan kira-kira YAKEB, badan induk itu memerlukan RM1.5 juta untuk membantu bekas atlet negara.

Setiap dana yang diterima akan dihimpunkan di dalam Tabung X.

Setakat ini, YAKEB hanya dapat mengumpulkan RM80,000 dan sedang berusaha untuk mencari penaja menerusi penganjuran beberapa acara sukan secara berjadual.

Dengan itu, mereka akan menganjurkan Larian Teh Tarik Kuala Lumpur pada 22 Mac ini.

"Setakat ini, kami sudah memiliki lebih kurang RM80,000 dalam Tabung X," kata Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

"Kami membahagikan simpanan kami kepada dua akaun di mana akaun pertama hanya untuk bantuan perubatan manakala Tabung X pula untuk simpanan masa depan.

"Apabila dana dalam tabung perubatan sudah habis, kami akan menambahnya dengan dana daripada Tabung X," katanya

Bekas atlet olahraga negara, S. Ganesan, menambah: " Larian ini bukan semata-mata untuk mencari keuntungan tetapi untuk membantu bekas atlet yang kurang berkemampuan, dalam kesusahan dan memerlukan rawatan.

"YAKEB merupakan satu-satunya tempat untuk golongan ini mengadu."



Editor: Muzaffar Musa