Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) bertindak pantas menghulurkan bantuan berupa wang tunai serta menanggung kos rawatan bekas pemain bola tampar pantai negara, Mohd Faiz Putra Abd Razak yang menghidap penyakit leukemia dan strok.

Menerusi laporan Nadi Arena semalam, bekas atlet negara yang meletakkan sasaran untuk bergelar jurulatih negara tidak kesampaian apabila terlantar di hospital sejak April lalu, ekoran penyakit leukemia dan strok.

Beberapa pegawai YAKEB tiba di Alor Setar, Kedah untuk melawat Faiz yang lumpuh bahagian kiri badan.

Keutamaan bagi bekas atlEt berusia 30 tahun ini adalah mendaftarkan diri sebagai ahli untuk memastikan beliau layak mendapat rawatan di bawah skim bantuan khas YAKEB.

Antara bantuan di bawah skim tersebut adalah ahli boleh mendapatkan rawatan kelas kedua di mana-mana hospital kerajaan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak YAKEB yang datang ke Alor Star dari Kuala Lumpur bagi menghulurkan bantuan," kata Faiz.

"Hari ini kami bertemu dengan bekas atlet negara yang telah berkhidmat di pentas antarabangsa, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Astro yang telah memberikan maklumat ini dan kami terus bertindak bagi melawat dan menghulurkan bantuan kepada beliau," kata Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.