YAKEB mudahkan urusan bekas atlet jalani pembedahan jantung, buah pinggang

Oleh Staff Writer 16 Julai 2020 114
YAKEB mudahkan urusan bekas atlet jalani pembedahan jantung, buah pinggang
Bekas pelumba lebuhraya negara, Yusof Udin, tidak akan mampu menjalani pembedahan jantung dan buah pinggang mencecah ratusan ribu ringgit jika bukan kerana bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

YAKEB kini melangkah setapak lagi apabila bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri.

"Saya baru sahaja menjalani pembedahan jantung atas bantuan pihak YAKEB dan telah menanggung kos perubatan saya," kata bekas pemenang pingat perak Sukan SEA 1979-81 itu kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Setiap kesusahan yang dihadapi sentiasa dipantau pihak YAKEB dan mereka telah bertanggungjawab membantu menjaga kebajikan bekas atlet negara."

Yusof, yang kini berniaga nasi lemak di Kepong, Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu,  menjalani pembedahan jantung tahun lalu diikuti buah pinggang.

Bekas atlet berusia 60 tahun itu antara 3000 ahli YAKEB yang bakal mendapat manfaat menerusi skim keselamatan sosial pekerjaan sendiri PERKESO.

"Sekarang kita sudah mula dengan Perkeso Selangor dan mereka beri Skim Wakalah untuk membantu bekas atlet yang pernah mencarum dengan Perkeso tetapi tidak layak mendapat faedah Perkeso. Selepas ini kita akan pergi ke negeri-negeri lain untuk membantu bekas atlet lain. 

"Tetapi yang penting sekarang ialah pencen yang akan Perkeso beri kepada bekas atlet yang mungkin dalam kesusahan atau ditimpa kemalangan," kata Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abd Majeed.

"Dengan minumum cuti selama empat hari, mereka layak untuk menerima faedah yang telah ditetapkan," kata Pengarah Perkeso Selangor, Mustafa Draman.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen