Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) tampil menjadi pengantara bagi menemukan Karamjit Singh dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican, berikutan jaguh perlumbaan rali itu terjejas teruk kerana COVID-19.

Sebelum ini, Flying Sikh terpaksa menjual Proton Waja pada harga RM7,000 bagi mendapatkan modal membeli kereta baru untuk bekerja sebagai pemandu Grab bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Farewell my dear Waja. You served me well. New owner, please jaga baik baik ok.

Posted by Karamjit Singh on Wednesday, December 9, 2020


"KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan menteri sukan sangat serius dalam hal ini. Beliau telah memberitahu Karamjit bahawa beliau akan membantu daripada segi penajaan dan surat sokongan daripada KBS," kata Presiden YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majed, kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, hari ini.

Begitupun, mengenai pencen yang pernah dijanjikan KBS yang didedahkannya berlaku sekitar 2005-2006 ekoran kejayaan bergelar juara dunia, perkara itu perlu diperhalusi/

"Dalam hal pencen ini, menteri akan kaji semula kerana ia hanya diberikan kepada pemenang pingat Sukan Olimpik," katanya.

Dalam masa sama, Karamjit masih bersemangat untuk meneruskan kariernya sebagai pelumba dengan kos bernilai RM3 juta.

"Saya ingin menyertai kejohanan Asia Pasifik sekali lagi, harap tahun depan dengan kereta Proton R5 yang sudah siap dibuat di England oleh Mellors Elliot Motorsport.

"Kami mahu beli kereta daripada mereka berserta alat gantinya yang memerlukan kos sebanyak RM3 juta," katanya kini berusia 58 tahun.

Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) turut sedia menawarkan bentuk bantuan yang boleh meringankan perjuangan Karamjit.

"MAM mahu tahu apa yang boleh kami bantu Karamjit selain memenuhi kehendaknya yang mampu selari dengan kami.

"MAM juga mengambil peluang ini untuk mengenali sukan rali dengan lebih mendalam dan mengetuai apakah kriteria yang menjadikan seseorang itu sebagai juara," kata Setiausaha Agung MAM, Muizz Azli.