Wushu: Atlet muda perlu bangun

Oleh Penulis Jemputan 29 Disember 2019 35
Wushu: Atlet muda perlu bangun
"Sudah tiba masa untuk atlet muda bangun," kata ketua jurulatih skuad wushu negara, Lim Yew Fai, selepas pemenang dua pingat emas Sukan SEA Filipina, Loh Choon How, mengumumkan persaraannya minggu lalu.

Selain pemenang anugerah Olimpian 2019 itu, skuad wushu negara turut kehilangan khidmat Loh Jack Chang dan Diana Bong, yang mengambil langkah sama.

Bagi Yew Fai, sudah tiba masanya untuk skuad pelapis negara bangun dan menyertai skuad senior.

"Mengenai atlet senior yang bersara, kami sebenarnya mempunyai pasukan gantian, iaitu pasukan pelapis.

"Benar, standard mereka (atlet pelapis) tidak berada di tahap tertinggi tetapi jurang itu tidak terlalu besar.

"Saya fikir ia masa yang sesuai untuk mereka menyertai skuad senior," katanya.

Tambah jurulatih itu lagi, persaraan Choon How bukanlah sesuatu untuk dibimbangkan kerana skuad negara memiliki penggantinya yang sedang menantikan peluang untuk beraksi.

"Selepas Choon How, kami masih mempunyai seorang lagi atlet taichi.

"Harap-harap dia dapat ke skuad senior.

"Dia mempunyai potensi dan saya harap dia dapat menggantikan Choon How dan Jack Chang," tambahnya.


Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen