Pelumba negara, Mitchell Cheah, yang bersama pasukan Hyundai Team Engstler yakin layak secara merit ke Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR) 2022 apabila edisi pertamanya disenaraikan melalui wildcard.

Penampilan sulung Mitchell dalam WTCR menyaksikan dirinya bergelut dengan taraf persaingan dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ke-19.

Bagaimanapun, Mitchell tampak lebih selesa dalam perlumbaan kedua dan memperbaiki kedudukan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 sebelum kembali ke tempat ke-19 dalam perlumbaan terakhir.

"Perancangannya adalah melayakkan diri secara merit bagi saingan WTCR 2022 dan melihat hala tuju kami pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Hafizh Syahrin Abdullah, yang beraksi dalam kelas MotoGP musim ini membuat penampilan pertama dalam kejohanan jentera empat roda dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.

"Pertandingan ini sangat kompetitif dan saya sangat bersyukur berjaya memperbaiki kedudukan selepas menyesuaikan diri dengan corak perlumbaan di atas litar basah," kata Hafizh.

Sementara itu, pemandu BRC Hyundai N Squadra Corse, Norbert Michelisz, diangkat sebagai juara keseluruhan WTCR apabila berjaya mengumpul 370 mata walaupun menamatkan perlumbaan terakhir hanya di tempat kelima.