Tiger Woods merumuskan kepulangannya ke saingan kompetitif adalah satu kejayaan di sebalik terkeluar daripada persaingan dalam Cabaran Dunia Hero di Bahamas, semalam.

Harapan untuk satu kejayaan bermakna buat pemenang 14 gelaran utama itu – yang kembali bertanding selepas 10 bulan – lenyap selepas Woods tergelincir daripada berkongsi tangga kelima ke tangga ke-10, 10 pukulan di belakang pendahulu, Charley Hoffman.

Sebelumnya wujud keraguan yang Woods akan mampu kembali ke Jelajah PGA gara-gara kesakitan belakangnya yang memerlukan sehingga empat pembedahan tetapi pemain berusia 41 tahun itu mengundang harapan ramai selepas mencatat 69 dan 68 dalam dua pusingan pertama di Kelab Golf Albany.

Woods gagal mengulangi kecemerlangan dalam pusingan ketiga dengan catatan tiga mengatasi par 75 yang merangkumi lima bogey daripada 10 lubang pembukaan di sebalik dia berpuas hati dengan persembahannya tanpa mengira bagaimana dia berkesudahan.

“Ia baik untuk menjadi sebahagian daripada persaingan semula… pergi ke luar sana dan bertarung dengan lapangan golf dan bersaing dengan pemain-pemain lain, itu menyeronokkan,” kata Woods.

"Namun, saya tidak banyak melakukannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Saya sukakannya. Saya gemar untuk bersaing di luar sana. Malangnya, saya tidak dapat memperbaikinya.”

Woods menambah: “Saya sangat gembira, saya gembira kerana saya mampu memukul bola sebaik yang pernah saya lakukan, memiliki rasa daripada putter saya, membentuk pukulan-pukulan dan hanya berusaha menamatkan pusingan saya sebaik mungkin.

“Seperti yang saya beritahu anda semua pada awal minggu ini, saya tidak mempunyai kad markah di dalam tangan saya buat beberapa lama. Jadi, keseluruhannya saya sangat gembira dengan apa yang berlaku minggu ini.

“Ada banyak persoalan yang bermain dalam fikiran saya dan saya berasakan seperti saya meraih perkara baik daripada minggu ini,” katanya.

Hoffman akan membawa kelebihan besar ke pusingan akhir susulan catatan dua bawah par 70 dalam pusingan ketiga, disusuli Justin Rose dan Jordan Spieth yang berkongsi tangga kedua.

Francesco Molinari ketinggalan enam pukulan di belakang pendahulu dengan catatan satu bawah par 71, dengan Tommy Fleetwood mengekori satu pukulan di belakangnya bersama Fowler, Patrick Reed, Matt Kuchar dan juara bertahan, Hideki Matsuyama.