Tiger Woods menyifatkan kejayaannya menyamai rekod kemenangan dalam Jelajah PGA sebagai “sesuatu yang gila” selepas mengungguli Kejohanan Zozo, pagi ini.

Segala-galanya berkisar mengenai Woods di Jepun, di mana juara 15 kali gelaran utama itu meraih kejuaraan PGA ke-82 yang bersejarah untuk menyamai pencapaian Sam Snead untuk kemenangan terbanyak sepanjang zaman.



Woods melakar 67 dalam pusingan akhir yang tertangguh kerana hujan lebat itu dengan kelebihan tiga pukulan mengatasi Hideki Matsuyama di Accordia Golf Narashino Country Club di Chiba.

“Ia benar-benar gila,” kata Woods mengenai kejayaan ke-82 dalam kariernya. “Saya berupaya untuk kekal konsisten untuk sebahagian besar karier saya dan menempatkan diri dalam kelompok teratas untuk menang banyak kali.

“Terdapat banyak kali juga yang saya tidak menang tapi hari ini adalah salah satu yang saya mampu melakukannya. Ia benar-benar merimaskan.”

Dia menambah: “Benar, ia satu angka yang besar. Ia berkisar kepada ketekalan dan melakukannya untuk satu tempoh yang panjang.

“Sam melakukannya pada usia 50-an dan saya pula pada permulaan atau pertengahan usia 40-an. Jadi, ia berkisar kepada kekal konsisten dan melakukannya untuk satu tempoh yang panjang.

“Saya bertuah untuk memiliki karier yang saya ada hingga kini. Untuk memenangi ini di Jepun, ia benar-benar ironik kerana saya sentiasa seorang pemain global, sentiasa bermain di seluruh dunia dan untuk menyamai rekod ini di luar Amerika Syarikat, ia mengujakan.”

Jaguh berusia 43 tahun itu menjalani pembedahan artroskopik di lutut kirinya Ogos lalu selepas satu kejayaan menakjubkan dalam Kejohanan Masters pada April – kejuaraan utama pertamanya dalam tempoh hampir 11 tahun.

Woods membuat kepulangan mengagumkan daripada kecederaan belakang yang nyaris menamatkan kariernya pada 2018 dengan mengungguli kejohanan penamat musim, Kejohanan Jelajah, dan bekas pemain nombor satu dunia itu meneruskan pendakiannya ke puncak golf semula.

Dia kembali ke lapangan pagi ini untuk menghabiskan tujuh lubang lagi selepas keadaan yang semakin gelap menangguhkan pusingan akhir Kejohanan Zozo yang julung-julung kali diadakan, di Chiba semalam.

“Saya tidak tahu saya akan kembali untuk bermain di peringkat ini. Tapi hakikat bahawa saya masih mampu membaca putt semula, itu sesuatu yang saya tidak mampu lakukan selama berbulan-bulan, ia benar-benar memberikan perbezaan.

“Dan cara saya bermula minggu ini, siapa sangka selepas bogey pada tiga lubang pertama, saya mampu mencatat nombor-nombor rendah.

“Saya ada melakukan beberapa kesilapan tapi ia tidaklah begitu buruk. Apabila saya dapat keluar daripadanya, saya mengembalikan diri ke dalam saingan semula,” katanya.