Tiger Woods menyamai rekod 82 kemenangan dalam Jelajah PGA selepas juara kejuaraan utama 15 kali itu memenangi Kejohanan Zozo di Jepun pagi ini.

Superstar Amerika Syarikat, Woods, mengesahkan kemenangan bersejarah dengan tiga pukulan untuk menyamai pencapaian Sam Snead dengan jumlah kemenangan terbanyak dalam jelajah itu.

Woods mencatat tiga bawah par 67 untuk berkesudahan dengan 19 bawah par keseluruhan di depan Matsuyama (67) di Accordia Golf Narashino Country Club.

Jaguh berusia 43 tahun itu menjalani pembedahan artroskopik di lutut kirinya Ogos lalu selepas satu kejayaan menakjubkan dalam Kejohanan Masters pada April – kejuaraan utama pertamanya dalam tempoh hampir 11 tahun.

Woods membuat kepulangan mengagumkan daripada kecederaan belakang yang nyaris menamatkan kariernya pada 2018 dengan mengungguli kejohanan penamat musim, Kejohanan Jelajah, dan bekas pemain nombor satu dunia itu meneruskan pendakiannya ke puncak golf semula.

Dia kembali ke lapangan pagi ini untuk menghabiskan tujuh lubang lagi selepas keadaan yang semakin gelap menangguhkan pusingan akhir Kejohanan Zozo yang julung-julung kali diadakan, di Chiba semalam.

Woods yang melakukan catatan 64, 64, dan 66 menuju ke 18 lubang terakhir, membawa pendahuluan tiga pukulan pada permulaan semalam dan mengekalkan kelebihan itu ke atas Matsuyama.

Selepas mengharungi 11 lubang pertama dengan catatan dua bawah par semalam, Woods kembali untuk melakukan bogey dan birdie di lubang 12 dan 14 pagi ini, dengan satu lagi birdie di lubang terakhir yang mengesahkan posisi kapten Piala Presiden itu di tangga teratas kedudukan pendahulu.

Juara kejuaraan utama empat kali, Rory McIlroy (67), berkongsi tempat ketiga bersama Im Sung-jae (65) dengan jumlah 13 bawah par, dua pukulan mengatasi Billy Horschel (70) dan Corey Conners (70).

Justin Thomas pula mengulangi catatan 60-an buat pusingan ketiga berturut-turut dengan 65 untuk berkongsi tempat ke-16 dengan Patrick Reed (68) dan Paul Casey (67) sambil bintang Australia, Jason Day (68), satu pukulan di belakang.

Malang buat Jordan Spieth, yang catatan 71 dalam pusingan akhirnya menyaksikan dia berkesudahan lima di atas par untuk berkongsi tempat ke-66.