Atlet veteran Sabah, Aliudin Jumaat, bertekad untuk mengulangi kejayaan apabila bersaing dalam kejohanan Olahraga Master Dunia (WMAC) di Perth, Australia dari 25 Oktober hingga 6 November depan.

Bekas juara lompat bergalah kebangsaan itu, yang memenangi pingat perak acara dekatlon dalam kejohanan sama di Itali, tiga tahun lalu, berkata dia akan bersaing dalam acara sama bagi kategori 60-64 tahun.

"Saya mahu buktikan kejayaan saya di Itali pada 2013 bukanlah kebetulan...saya akan lakukan yang terbaik untuk negara," katanya di Kota Kinabalu, semalam.

Aliudin yang juga Presiden Persatuan Atlet Master Sabah (SAMAS), menjelaskan kejohanan kali ini juga berbeza kerana terdapat 19 atlet dari Sabah turut menyertainya berbanding hanya beliau seorang, sebelum ini.

"Saya yakin kebanyakan atlet Sabah akan menyinar berdasarkan prestasi mereka dalam Kejohanan Olahraga Master Asia lalu dan rekod yang dipegang mereka juga adalah antara lima terbaik bagi kalangan atlet yang disenaraikan dalam kejohanan di Perth nanti.

"Juliana Gumpil, iaitu pemegang rekod Master Asia untuk acara 100m, 80m lari berhalangan dan lompat jauh, akan bersaing dalam kategori 50-54 tahun dan Charles Linggam akan bersaing dalam acara lompat jauh (60-64 tahun), manakala Tay Yu Eng yang akan bertanding dalam acara lempar cakera wanita (60-64 tahun) turut dijangka menamatkan saingan dalam kedudukan lima teratas," katanya.

"Apa yang perlu mereka lakukan ialah meningkatkan kekuatan mental apabila bersaing dengan lawan yang memiliki ranking lebih tinggi tanpa mengira saiz fizikal mereka," katanya.

Tambah beliau, antara atlet dari Sabah lain yang turut menyertai kejohanan di Perth ialah Shamry Mohd Ali, Tarmizi Sandhu, Maulani Diman, Julius Komuning, Saniban Amphilla, Ramond Chai, Joseph Latong, Maryem Joinol, Bernice Lau, Lucy Yong, Susanna Hiew, Vironica Elau, Suffiah Abd Rahim, Maiteh Sadiman dan Christina Labanjing.

"Kebanyakan atlet ketika ini menjalani latihan di Stadium Likas manakala ada juga yang berlatih di Penampang, Tuaran dan Kota Belud," katanya.

Kesemua sembilan atlet lelaki dan 10 wanita itu adalah antara 39 atlet kontinjen Malaysia yang akan berlepas ke Perth pada 23 Oktober ini.