Cemerlang dan dalam kelas tersendiri, itu rumusan buat pasukan boling tenpin wanita negara yang disambut meriah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), sebentar tadi.

Gandingan Shahlin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan pulang dari Amerika Syarikat (AS) dengan menamatkan penantian selama 10 tahun untuk memenangi pingat emas dalam Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas, Ahad lalu.

"Alhamdulilah, saya gembira dengan kejayaan ini selepas berjauhan dengan keluarga selama lima minggu. Saya ke sana lebih awal kerana mengikuti rombongan kontinjen lelaki," katanya.

"Saya dan rakan sepasukan teruja dan gembira disambut meriah di lapangan terbang," kata Shalin yang turut meraih pingat perak beregu wanita menerusi gandingan dengan Li Jane.

Malah, Shahlin memaklumkan mereka tidak akan berehat lama kerana berkemungkinan akan melanjutkan aksi di Sunway Megalanes, malam ini.

"Kebanyakan daripada kami akan bermain dalam Kejohanan Masters di Sunway pada malam ini, namun saya sendiri belum pasti akan beraksi atau tidak.

"Kami akan berehat sekejap sebelum menyambung latihan pada 13 Disember (Rabu depan) untuk menghadapi kejohanan di Korea Selatan nanti."