Selepas meraih emas dalam Kejohanan Wushu Asia di Taiwan, September lalu, Wong Weng Son kini berhasrat untuk menggapai emas dalam Kejuaraan Dunia yang dijadualkan berlangsung di Russia pada tahun hadapan.

Emas disumbangkan oleh Weng Son menerusi acara jianshu, menebus kembali kekecewaannya ketika bertanding dalam Kejohanan Dunia di Indonesia 2015.

Ketika itu, Weng Son hanya mampu berpuas hati dengan kutipan dua pingat perak dan satu gangsa menerusi acara changquan, qiangshu dan jianshu.

Mengulas prestasinya dalam Kejohanan Asia tempoh hari, dia sama sekali tidak menyangka mampu menggondol emas memandangkan pesaingnya juga tidak kurang hebat.

"Saya berasa boleh memberikan saingan yang lebih lagi kerana Kejohanan Asia merupakan penampilan kedua saya dan juga antara pencapaian terbaik untuk saya kerana saya tidak pernah memenangi sebarang pingat emas," ujar Weng Son.

Kini, menuju persiapan ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Weng Son mempunyai beberapa misi.

Fokus utamanya adalah di Russia untuk bergelar juara dunia selepas dinobatkan selaku juara Asia.

"Wushu tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik, jadi saya berharap untuk mendapatkan pingat emas di Kejohanan Dunia.

"Saya juga berharap saya boleh bertanding hingga mencecah usia 30 tahun."