Perenang sensasi negara, Welson Sim, tidak menyangka diangkat sebagai atlet terbaik Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ketika gimnas, Koi Sie Yan, menerima habuan tertinggi dalam Majlis Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), malam tadi.

Welson sebenarnya dalam perancangan pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak sebelum diberitahu dia memenangi anugerah itu.

Bukan itu sahaja, Welson penerima paling tinggi SHAKAM bagi atlet lelaki dengan RM33,000 selepas meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa, termasuk dua rekod baru temasya dalam
KL2017, Ogos lalu.

"Ia sesuatu yang berlaku tiba-tiba. Saya dijadualkan pulang ke Sarawak. Jadi, saya tidak menjangkanya. Bagaimanapun, ia adalah peluang baik yang diberikan kepada saya," katanya.

Dalam pada itu, Sie Yan pula menerima insentif tertinggi kontinjen negara, mengatasi ratu berbasikal trek, Nur Fatehah Mustapa, dengan RM49,000.

Angka itu adalah habuan untuk empat pingat emas, separuh daripada kutipan keseluruhan skuad gimrama dalam temasya sukan dwi-tahunan itu.

"Saya sangat berpuas hati kerana walaupun tidak berada dalam keadaan baik, saya beraksi baik. Saya akan lebih fokus dan berlatih lebih gigih lagi selepas ini," katanya.

Hadiah kemenangan tertinggi atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017:

Koi Sie Yan (Gimnastik berirama) - RM49,000
Fatehah Mustapa (Berbasikal) - RM46,000
Aaliyah Yoong (Luncur air) - RM43,000
Muhammad Rafiq Ismail (Boling) - RM41,000
Shalin Zulkifli (Boling) - RM34,000