Perenang negara, Welson Sim, diberi tempoh hingga April depan untuk melepasi had kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit atau perlu membincangkan kembali perancangannya untuk terus kekal berlatih di Melbourne, Australia.

Jaguh negara itu berlepas ke Australia minggu lalu untuk menyambung program latihan khasnya.

Dia merupakan antara prospek terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo selain perenang wanita negara, Phee Jinq En, yang sedang menyambung pengajian di Amerika Syarikat.

Perenang berusia 23 tahun itu dijadualkan menyertai dua kejohanan di Melbourne sebelum mengambil bahagian dalam Kejohanan Terbuka Malaysia, April depan, yang akan menentukan keberkesanan fasa pertama misinya untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Saya dapat tahu yang kami ada melakukan perbincangan sebelum ini," kata ketua jurulatih skuad renang negara, Chris Martin.

"Saya fikir ia sudah terlalu dijadikan isu.

"Kami mahu memberikan segala-galanya buat perenang negara dan membenarkan mereka untuk melakukan apa yang mereka mahu.

"Tetapi apa yang saya tahu, selepas Terbuka Malaysia, wakil daripada MSN (Majlis Sukan Negara), wakil daripada pasukan negerinya dan wakil daripada penajanya akan mengadakan perbincangan," katanya.

Dalam Sukan Olimpik Rio 2016, skuad renang negara diwakili oleh Welson dan Jinq En selaku peserta peluang khas.

Begitupun, prestasi perenang kelahiran Sarawak itu menjadi persoalan apabila hanya meraih dua pingat perak dalam Sukan SEA Filipina bulan lalu.




Editor: Muzaffar Musa