Perenang sensasi, Welson Sim, berpuas hati apabila kejayaan memperbaharui dua rekod Sukan SEA 2017 mengangkatnya sebagai atlet lelaki terbaik negara.

Selain memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam temasya KL2017, Welson memperbaharui dua rekod temasya dalam acara 200 dan 400 meter gaya bebas.

Atas pencapaian itu, dia dinobatkan sebagai atlet terbaik dalam Majlis Penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), malam tadi berbanding individu lain, terutama atlet boling tenpin negara, Rafiq Ismail, yang memenangi tiga emas.

"Saya berjaya melakar dua rekod baru, ia satu pencapaian yang baik buat kami. Saya harap dapat meraih lebih banyak kejayaan pada tahun hadapan," kata Welson.

Sementara itu, gimnas negara, Koi Sie Yan, berharap pengiktirafan sebagai atlet wanita terbaik bukan hanya atas pencapaiannya semata-mata, sebaliknya buat sukan gimrama secara keseluruhannya.

Prestij sukan gimrama dan gimnastik artistik sering menjadi perbandingan, satu hakikat yang disedari pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Sie Yan berpandangan gimnas daripada kelompok gimrama seperti gimnastik artistik berjuang untuk satu tujuan, demi negara tercinta.

"Ia sukan yang sama tetapi dalam acara yang berbeza. Kami meraih pencapaian baru setiap kali bertanding.

"Kami sentiasa bersama-sama mencurahkan usaha terbaik untuk negara setiap kali beraksi," kata Sie Yan.