Ketua jurulatih renang negara, Paul Birmingham, mahu Welson Sim melupakan acara jarak jauh 1,500 meter dan hanya fokus kepada acara jarak sederhana menjelang Sukan Komanwel 2018.

Sebelum ini, Welson pernah menyatakan hasrat untuk kembali fokus kepada acara asal ketika awal pembabitannya dalam sukan renang, iaitu 1,500m, khususnya dalam Sukan Komanwel, April depan.

Bagaimanapun, Birmingham tidak berasakan ia adalah pilihan yang tepat buat masa sekarang, sebaliknya mahu pemenang dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu kekal fokus kepada acara 200m dan 400m gaya bebas.

Birmingham juga melihat peluang Welson lebih cerah dalam dua acara terbabit dan dia memerlukan latihan yang lebih keras jika ingin konsisten dalam 1,500m.

"Jika dia mahu fokus kepada 1,500m, Welson harus mengorbankan 200m. Aksinya dalam 200m lebih baik berbanding 1,500m walaupun dia sentiasa menekankan latihannya dalam 1,500m," kata Birmingham.

Skuad renang negara kini bersedia untuk Kejohanan Piala Dunia di Beijing dari 10 hingga 11 November ini, di mana hanya lima perenang yang akan dibawa beraksi.

"Kami menghadapi Kejohanan Piala Dunia. Ia satu kejohanan yang pendek dan saya rasa ia satu pengalaman yang bagus untuk atlet-atlet," katanya lagi.