Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur daripada sukan taekwondo, Chew Wei Yan dan Yap Khim Wen, tetap fokus dengan persiapan menghadapi Sukan Asia 2018, Ogos depan walaupun mengakui kecewa taekwondo kini tidak lagi berada dalam senarai sukan teras.

Bagi Wei Yan, ketiadaan taekwondo dalam sukan teras memang memberi kesan kepada atlet muda.


Tambahnya, ia lebih memberi kesan apabila sukan itu turut tidak dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.

"Saya sangat kecewa apabila taekwondo dikeluarkan daripada sukan teras. Kami telah mempamerkan keputusan tetapi mungkin terdapat alasan kenapa ia dikeluarkan," kata Wei Yan.

Nada sama turut disuarakan Khim Wen. Baginya, sebagai atlet elit, biarpun terkilan dengan tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) mengugurkan taekwondo, namun perjuangan harus diteruskan.

Khim Wen menyedari cabaran lebih sukar menanti atlet taekwondo negara dalam Sukan Asia dengan kehadiran lebih ramai pencabar bertaraf dunia.

Justeru, Sukan Asia perlu menjadi keutamaannya ketika ini.

"Banyak negara yang memiliki atlet berkualiti dalam acara poomsae dalam Sukan Asia nanti," kata Khim Wen.

Khim Wen dan Wei Yen akan kembali menyambung latihan di bawah jurulatih poomse dari Korea Selatan, Jin Jun Beom, apabila pengendali itu pulang daripada percutian bulan depan.