Atlet judo negara, Chong Wei Fu, bimbang kes doping Sukan Malaysia (Sukma) Perak akan menambah kesengsaraan barisan atlet senior yang terpaksa menanggung sendiri kos penyertaan dalam kejohanan di luar negara.

Nasib sukan judo ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Mereka tiada dalam program Majlis Sukan Negara (MSN), terpaksa menanggung sendiri kos menyertai kejohanan luar negara dan kini dikaitkan dengan kes doping.

Perkembangan itu memberi kesan terhadap persiapan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 ketika mereka sedang mencari tajaan pihak swasta.

"Sukan judo bukan lagi dalam program sukan teras.

"Kami perlu berusaha sendiri untuk terus bersaing .

"Perkara seperti itu pasti akan lebih merumitkan semua yang terlibat dalam sukan ini," kata Wei Fu.

Atlet judo dikaitkan dengan kes positif doping Sukma Perak yang berlangsung September lalu, selepas 17 sampel menjalani ujian susulan.

Setakat ini, dua sampel atlet angkat berat Terengganu positif bahan terlarang methylhexanemine yang juga sejenis bahan perangsang.

Selain judo, atlet ketiga angkat berat juga dikaitkan positif menjelang pengumuman Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), petang ini.

Situasi ini mencalar reputasi Sukma Perak kerana semua atlet terbabit berusia bawah 21 tahun.