Wee Wern, Nafiizwan terima suntikan penajaan

Oleh Shaiful Shamsudin 18 November 2016 1
Wee Wern, Nafiizwan terima suntikan penajaan
Ibarat rezeki datang bergolek, barisan pemain skuasy negara, Low Wee Wern dan Mohd Nafiizwan Adnan, menerima durian runtuh apabila mendapat tajaan daripada Numestro bagi membantu perkembangan karier masing-masing.

Sejak kembali daripada kecederaan lutut kirinya pada September lalu, Wee Wern mengakui dia kehilangan penaja dan berterima kasih kerana Numestro masih menaruh kepercayaan untuk menaja dirinya sejak tahun 2013. 

"Ia memberi makna besar untuk saya mendapat penajaan dan kembali beraksi. 

"Saya terpaksa mulakan dari bawah dan perlu mencari semula rentak sebenar.

"Saya mahu fokus kepada satu demi satu perlawanan dan bukannya memenangi kejohanan.

"Saya mahu berentap dengan pemain utama dunia, kemudian kemenangan akan menyusul." ujarnya. 

Bagi Nafiizwan pula, dia menyifatkan tahun 2016 adalah tahun terbaiknya bergelar pemain skuasy negara. 

Dia kini berada di kedudukan ke-31 dunia dan berharap insentif yang diberikan oleh pihak Numestro mampu menyuntik semangatnya untuk terus menggapai lebih banyak kejayaan.

"Saya mencapai banyak peningkatan sejak berlatih di Manchester di bawah bimbingan Andrew Whipp.

"Di sana, saya mempunyai ramai kenalan dalam kalangan pemain utama seperti James Willstrop dan Nick Matthew.

"Boleh dikatakan hari-hari saya berlatih dengan mereka, sebab itulah ia banyak membantu saya meningkatkan prestasi," katanya.  

Wee Wern menerima penajaan bernilai RM30,000, manakala Nafiizwan pula menerima insentif sebanyak RM35,000 hasil daripada penyertaannya dalam Terbuka Amerika Syarikat dan Kejohanan Dunia Lelaki, bulan lalu. 

Nafiizwan, yang juga pemain nombor satu negara, berada di ranking ke-31 dunia, dan selain fokusnya untuk mempertahankan gelaran dalam Kejohanan Skuasy Kebangsaan, dia pernah muncul juara di Klasik New Zealand, tahun lalu. 

Wee Wern pula, yang berada di ranking ke-27 dunia adalah penyumbang dua pingat emas di Sukan Asia Guangzhou, China dan Incheon, Korea Selatan. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen