Penolong jurulatih skuad compound negara, Wan Khalmizan Wan Aziz, dijangka kembali ke pangkuan skuad recurve kebangsaan dan statusnya akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kerja dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bulan depan.

Khalmizan sedang menjalani rawatan pemulihan ekoran patah tulang pelvis selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya Khamis lalu.

Jurulatih yang membantu skuad compound kebangsaan meraih pingat emas dalam saingan trio lelaki Sukan SEA Filipina itu dijangka terpaksa berehat selama tiga bulan.

Namun, skuad compound tidak berdepan tugasan besar tahun ini, apatah lagi acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Justeru, khidmatnya tampak lebih diperlukan pemanah recurve negara.

"Masih belum tahu, perlu tunggu sehingga hujung bulan ini, kemudian baru kami selesaikan urusan pertandingan. Untuk skuad compound, selepas Sukan SEA di Filipina, kami akan bincang dalam mesyuarat bagi menentukan program seterusnya," kata pengarah kejurulatihan memanah negara, Lee Jae-hyung.

Kejohanan sulung skuad memanah tahun ini adalah Grand Prix Asia di Bangkok, Thailand, Mac depan dan ia bakal menjadi sebahagian persiapan dalam memburu tiket Olimpik Tokyo menerusi saingan Piala Dunia di Berlin, Jerman Jun depan.



Editor: Nafis Abdullah