Wajah baru PTAM perlu tamatkan penantian ke Sukan Olimpik

Oleh Muzaffar Musa 15 Ogos 2020 109
Wajah baru PTAM perlu tamatkan penantian ke Sukan Olimpik
Presiden baru Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Mohd Iruan Zulkifli, berdepan cabaran dalam memastikan peninju negara kembali menjejakkan kaki ke petas Sukan Olimpik selepas 24 tahun gagal melakukannya.

Beliau menang tanpa bertanding selepas penyandang jawatan itu, Tan Sri Isa Samad, menarik diri dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu di ibu negara hari ini.

PTAM mengalami rombakan besar-besaran apabila 90 peratus daripada ahli persekutuan itu merupakan muka baru

Iruan akan mengetuai misi kebangkitan peninju negara, terutama untuk ke Sukan Olimpik, selepas Sapok Biki melakukannya dalam edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Misi itu akan tercapai sekiranya kepimpinan baru PTAM bersatu dalam menyokong peninju negara.

"Harapan saya adalah agar ahli jawatankuasa yang baru dipilih hari ini dapat membawa kejayaan buat sukan tinju dan bekerjasama untuk membangunkan sukan ini.

"Kami akan mengadakan satu perbincangan khusus mengenai perancangan sepanjang tiga tahun ini," katanya dalam Nadi Arena hari ini.

Tindakan awal yang akan dilakukan PTAM adalah merombak skuad kebangsaan.

Perubahan itu menyaksikan beberapa peninju negara terpaksa digugurkan selain ketua jurulatih, Azmi Yunus, akan menggalas tugas baru sebagai pengendali skuad remaja kebangsaan.

Skuad senior kebangsaan pula akan dikendalikan jurulatih baru dari Uzbekistan, yang akan tiba di Malaysia pada Oktober depan.

"Kalau boleh kami mengharapkan jurulatih luar ini dapat tiba secepat mungkin.

"Mungkin beliau akan tiba di Malaysia pada Oktober depan.

"Kami telah menilai setiap calon dan dia merupakan yang terbaik dan boleh memberikan sumbangan kepada Malaysia," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen