Presiden Persekutuan Taekwondo Malaysia (TM), Tan Sri S. A. Vigneswaran, berkata pihaknya belum lagi menerima sebarang makluman rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung tindakan mengugurkan taekwondo daripada senarai sukan teras.

Bagi Vigneswaran, tindakan menggugurkan taekwondo daripada senarai sukan teras amat mengejutkannya, lebih-lebih lagi sukan itu turut menyumbang pingat buat negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Vigneswaran bersedia mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bagi meleraikan perkara tersebut.

Namun, beliau tetap mahukan penjelasan rasmi daripada KBS atau MSN berhubung faktor yang menyebabkan taekwondo digugurkan daripada sukan teras.

"Kami belum menerima surat secara rasmi taekwondo dikeluarkan. Menteri membuat keputusan itu berdasarkan fakta yang dikemukakan kepadanya. Saya akan berjumpa dengan beliau," katanya.

Tambah Vigneswaran, dengan ketiadaan taekwondo sebagai sukan teras, ia bakal menyaksikan acara itu digugurkan daripada Sukma Malaysia di Perak tahun depan.

Secara tidak langsung, jelasnya, ia turut memberi kesan kepada ahli gabungan negeri TM yang sudah melakukan persiapan menghadapi temasya itu.

"Ia memudaratkan persatuan kami kerana banyak kos yang dibelanjakan. Saya diberitahu mereka juga akan membuat rayuan. Keputusan ini bukannya tidak boleh dipertimbangkan semula," ujarnya yang ditemui ketika sidang media selepas menerima kunjungan Presiden Persekutuan Taekwondo Antarabangsa Malaysia (MITF), Terence Ee, di Dewan Negara, hari ini.