Pemain tenis wanita nombor lima dunia, Venus Williams, tidak merancang untuk menggantung raket walaupun mengharungi musim yang cemerlang pada tahun 2017.

Dia kembali ke dalam kelompok lima pemain terbaik dunia setelah tersingkir ke tangga ke-17 pada hujung 2016 susulan penampilan dalam tiga final daripada empat acara grand slam.

Sepanjang tahun, Venus telah memenangi 37 perlawanan dalam siri Jelajah WTA dan berpeluang menambahnya selepas mengatasi Garbine Muguruza untuk menempah tiket empat terbaik dalam Terbuka Singapura.

Usianya yang semakin meningkat dikatakan menjadi faktor utama dirinya gagal memenangi Terbuka Wimbledon dan Terbuka Australia tetapi dia menegaskan masih belum bercadang untuk bersara.

“Saya tidak tahu apa perancangan selepas ini.

“Tiada sebarang had minimum atau maksimum. Saya tidak bercadang untuk berhenti buat masa sekarang,” katanya.

Bagi pemenang empat kali grand slam, Kim Clijters, dia berasakan bahawa Venus berhak untuk terus beraksi dan pemain berasal dari Belgium itu percaya bintang Amerika Syarikat itu masih kekal pilihan utama dalam kejohanan akhir musim.

“Venus tampak kekal fokus dan sentiasa memiliki kemahuan tinggi. Saya rasa pengalamannya bakal membantu dalam terus meraih kejayaan.

“Saya melihatnya sejak beberapa bulan lalu melakukan beberapa ulasan dan menyaksikannya beraksi dan apa yang saya nampak adalah Venus menikmati waktu permainannya, terutama ketika memenangi perlawanan besar.

“Sesuatu yang menyeronokkan apabila menyaksikan Venus terus beraksi dan saya menghormatinya di atas apa yang dilakukan,” ujar Clijters.