Pengarah Kejohanan One Silat 2016, Shaffie Omar, mengakui pihaknya masih berusaha mencari tarikh dan lokasi yang bersesuaian untuk mengadakan pertarungan pusingan akhir kejohanan berkenaan.

Saingan One Silat sudah sampai ke kemuncak selepas berlangsungnya pertarungan separuh akhir di Stadium Titiwangsa, semalam.

Tiga wakil Malaysia berjaya mara ke final, masing-masing menerusi Dhiaaul Amal (bantamweight), Muhammad Rrif Izzudin (flyweight) dan Asuan Khalid yang menang percuma selepas lawan dari Indonesia, Mustadi, menarik diri.

Begitupun, penganjur belum ada ketetapan atau pengesahan tarikh pertarungan akhir di samping perlu mencari lokasi baharu.

Ia berikutan Stadium Titiwangsa akan ditutup bermula Januari bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baikpulih sebagai persediaan menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Insya-Allah dalam bulan tiga nanti, tarikhnya kita serahkan kepada Datuk Megat (Zulkarnain Omardin) selaku presiden One Silat untuk buat pengumuman.

"Ada kemungkinan venue akan berubah ekoran pada tahun hadapan, Stadium Titiwangsa sedang dinaik taraf sebagai persiapan Sukan SEA 2017," jelas Shaffie.

Dalam pada itu, Dhiaaul tetap akan menjalani persiapan seperti biasa walaupun mengakui sedikit resah kerana tidak mengetahui bila pertarungannya akan berlangsung.

Dia mencipta kejutan dengan menewaskan peserta pilihan dari Filipina, Alvin Ramirez, untuk mara ke final buat kali pertama.

Kini tinggal Isroiljon Rasulov dari Uzbekistan sebagai halangan terakhir buat Dhiaaul untuk bergelar juara.

"Lama sedikit bukan masalah kerana selepas pertarungan, saya perlukan masa untuk kembali cergas sepenuhnya dan sembuh daripada segala kecederaan," ujar Dhiaaul.