Jurulatih skuad karate-do negara, Andris Vasiljevs, meminta Persekutuan Karate-Do Malaysia (MAKAF) lebih memberikan tumpuan terhadap atlet yang akan menyertai Kejohanan Dunia di Sepanyol, minggu depan berbanding berdebat mengenai kontraknya.

MAKAF masih belum memutuskan siapa yang akan menyertai Kejohanan Dunia di Madrid, Sepanyol bermula minggu depan.

Lebih membimbangkan, masa semakin suntuk kerana skuad negara dijadual berlepas Sabtu ini.

Perkara ituperlu diutamakan MAKAF berbanding membincangkan status kontrak Vasiljevs.

"Buat masa ini, beberapa atlet sudah mendapatkan pelepasan daripada pegawai perubatan bahawa mereka telah bebas daripada kecederaan, kami sedang menanti daripada pihak MAKAF bagi menentukan siapa yang bakal beraksi," katanya.

Setakat ini, hanya Syakilla Salni Jefry Krishnan boleh dikatakan sah ke Madrid.

Namun, tidak dapat dipastikan adakah R. Sharmendran dan Prem Kumar dapat mengiringinya.

"Saya mengharapkan lebih ramai atlet beraksi dalam Kejohanan Dunia kerana ia akan membantu saya membuat persiapan menghadapi perlawanan di Madrid. Ini merupakan pertandingan yang penting dan saya sedang berusaha untuk mendapatkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Syakilla.