Harold Varner III melakar sejarah Jelajah PGA apabila bangkit daripada permulaan lembab untuk memimpin Kejohanan Cabaran Charles Schwab dengan satu pukulan.

Pemain golf dari Amerika Syarikat itu mengukir namanya menerusi catatan empat di bawah par 66 selepas pusingan kedua di Colonial Country Club itu, sebentar tadi.

Selepas pemain muda itu cemerlang menyertai Justin Rose sebagai pendahulu dalam pusingan pembukaan semalam, catatan itu merupakan yang terendah dalam era ShotLink sejak 2003 bagi seorang pemain yang berjaya meneruskan saingannya dengan 'triple bogey' atau lebih teruk lagi.



Bermula di sembilan lubang terakhir, pukulan Varner menuju ke arah jambatan yang membawa kepada penalti satu pukulan untuk dia memulakan hari kedua saingan itu dengan tiga bogey.

Bagaimanapun, sentuhan terbaiknya muncul menerusi lima birdie dalam enam lubang terakhirnya di Texas itu, di mana tidak ada peminat dibenarkan untuk mendekati aksi Jelajah PGA sejak ditunda Mac lalu berikutan COVID-19.

"Ia bukan permulaan yang saya dambakan tetapi itu hanyalah sebahagian daripada golf," katanya yang menduduki tangga teratas di depan Jordan Spieth dan Bryson DeChambeau.

"Sekiranya saya perlu melakukan tiga pukulan dalam lubang terakhir, nasib saya akan tetap serupa. Ini adalah satu peluang yang bagus untuk memasuki hujung minggu ini."