Usia bukan penghalang -- John

Oleh Penulis Jemputan 28 November 2017 65
Usia bukan penghalang -- John
Kapten skuad bola keranjang Malaysia Dragons, John Ng, mahu membuktikan usia bukan penghalang apabila kembali disenaraikan pasukan itu untuk cabaran Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL).

Pengalaman luas yang dimiliki John menyaksikan dia menjadi pilihan jurulatih Dragons, Chris Thomas, sebagai kapten untuk mengimbangi pasukan yang turut dibarisi beberapa pemain muda.

Sekaligus ini adalah penampilan pertama John dalam saingan ABL selepas berehat selama dua tahun untuk fokus kepada keluarga.

Lantas, pada usia 36 tahun, John menjadi sandaran untuk memimpin Dragons selepas tampil dengan aksi meyakinkan dalam saingan Liga Pro Malaysia (MPL), baru-baru ini.

"Kami perlu mendapatkan keserasian dalam kalangan pemain-pemain. Kami telah menjalani latihan yang intensif untuk mempamerkan persembahan yang cemerlang," katanya.

Dragons memulakan kempen ABL musim 2017/2018 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 116-112 ke atas kelab Thailand, Mono Vampire, Sabtu lalu.

Aksi seterusnya buat Dragons ialah pertemuan di laman sendiri menentang Chong Son Kung Fu dari China, esok.

Saingan kali ini menyaksikan penambahan tiga lagi pasukan berbanding hanya enam pada musim lalu dan John berharap Dragons dapat mengekalkan rentak konsisten untuk kembali memburu kejuaraan yang pernah dimenangi pada musim 2015/2016.

"Kami masih belum pernah bersaing dengan mereka, kami berharap dapat mengenal pasti gaya permainan mereka dan cuba untuk melakar kemenangan," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen