Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, meminta atlet, jurulatih dan pegawai menghormati usaha untuk memulakan program latihan Road To Tokyo (RTT) yang menuntut mereka kekal dalam kluster venue latihan untuk tempoh yang ditetapkan.

Pada waktu ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merupakan antara persatuan sukan yang menjadi penanda aras dengan menyediakan prosedur ketat untuk atlet negara kembali berlatih.

Bagi Shapawi, barisan jurulatih dan pegawai perlu faham usaha yang dijalankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membantu program latihan RTT bersambung semula, 1 Jun depan.

Sokongan serta kerjasama amat penting, apatah lagi sesi latihan sudah dihentikan sejak dua bulan lalu tatkala ia termasuk cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang menuntut mereka terbabit kekal dalam kluster latihan untuk satu tempoh ditetapkan.

Terdahulu, beberapa atlet dan jurulatih meminta KBS mempertimbangkan semula cadangan itu walaupun realitinya, terdapat puluhan cadangan lain dalam SOP yang akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum sambutan Aidilfitri.

“Keberadaan mereka penting. Kami tidak mahu orang ramai masuk dan keluar kerana ia mungkin mendekatkan diri dengan virus itu. Ia memerlukan penyediaan dokumen lengkap sambil semua orang patuh dengan arahan,” kata Shapawi.

"Kami perlu berikan mereka penerangan jelas. Kalau seseorang atlet itu tetap tidak yakin, kami tidak dapat berbuat apa-apa."

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yakin tiga kluster venue latihan program RTT mampu dipantau dengan baik untuk menjamin keselamatan 300 individu terbabit.

Keyakinan itu disuarakan selepas melawat kluster latihan di MSN Bukit Jalil yang akan menjadi venue latihan atlet renang, terjun, gimnastik, memanah, golf dan karate-do.

“Secara umumnya saya berpuas hati, selepas melawat fasiliti dan diberikan taklimat. Saya lihat semua langkah ini dijalankan dengan penuh teliti dengan mengambil kira semua aspek keselamatan yang dicadangkan oleh MKN dan KKM,” katanya.

Selepas meninjau keadaan terkini Akademi Badminton Malaysia, Reezal turut bersetuju untuk mempercepatkan permohonan kelonggaran latihan pemain negara kepada MKN berbanding kenyataan sebelum ini yang hanya akan bersidang selepas sambutan Aidilfitri.

BAM komited menyiapkan prosedur ketat, antaranya akan membuat proses sanitasi dua kali sehari sebagai inisiatif mengekang penularan wabak Covid-19 di kawasan itu, selain tiada pergerakan keluar masuk dari pihak luar.

Bagaimanapun, ia hanya melibatkan 16 pemain badminton negara yang berada di bawah program RTT bersama jurulatih masing-masing.

"Peringkat awalnya saya akan kemukakan selepas Aidilfitri tetpai selepas saya melihat kepada kemampuan di ABM, saya mungkin membawanya sebelum Aidilfitri. Namun, mungkin latihan boleh bermula pada 1 Jun depan selepas menerima kelulusan MKN dan KKM," ujar Reezal.

"Kami sudah buat yang terbaik. Cadangan telah dikemukakan kepada KBS, jadi buat masa ini, kami hanya boleh tunggu keputusan," tambah Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.