Usah khuatir jika gagal raih emas di KL2017 -- Newenham

Oleh Penulis Jemputan 7 November 2017 86
Usah khuatir jika gagal raih emas di KL2017 -- Newenham
Atlet negara yang gagal memenangi emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 tidak perlu khuatir dengan kedudukan mereka dalam Program Podium.

Ketika ini, terdapat 117 atlet yang disenaraikan dalam Program Podium.

Program itu dkhususkan untuk membantu Malaysia meraih emas pertama dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta beberapa kejohanan penting seperti Sukan Komanwel Gold Coast dan Sukan Asia Indonesia 2018.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham, menjelaskan meraih emas dalam Sukan SEA bukanlah penanda aras untuk atlet tersebut dapat memasuki mahupun disingkirkan daripada program paling
mahal di Malaysia itu.

"Meraih emas dalam Sukan SEA tidak menjamin anda berada pada tahap sama untuk mendapatkan medal dalam kejohanan major. Jika atlet yang berada dalam Program Podium gagal meraih pingat, ia tidak akan menggugat kedudukan mereka,” katanya.

Tanpa mendedahkan berapa pencalonan diterima daripada persatuan sukan untuk senarai baru atlet ke Program Podium, Newenham menjelaskan mereka juga boleh memilih sendiri atlet untuk dimasukkan berdasarkan persembahan cemerlangnya sepanjang tahun 2017.

"Dalam pemilihan untuk menyerapkan atlet ke dalam program ini, kami melihat kepada beberapa kriteria . Tiada unsur berat sebelah dan prestasi atlet menjadi keutamaan," tegasnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen