Kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan kejaguhan apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Memanah Terbuka Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Nerus, kelmarin.

Skuad bimbingan Liew Teck Wa itu meraih empat pingat emas dan tiga gangsa yang membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 serta trofi.

Pemanah wanita negara, Nur Aliya Ghapar, paling mencuri tumpuan dengan menyumbang tiga pingat emas buat UPM menerusi acara recurve individu, recurve berpasukan bersama Cheryl Rudang, Goh Pei Lock dan Nur Atiqah Azizi serta acara recurve campuran bersama Muhamad Ikram Joni.

UPM menambah satu lagi pingat emas daripada Syarah Syuhaidah Abas dalam acara compound individu wanita, sekali gus membantu pasukan menjuarai kejohanan edisi keenam itu.

Menurut pengurus pasukan UPM, Shahrulnizar Nurhalim, persembahan atlet-atletnya cukup baik walaupun pada awalnya tidak meletakkan sasaran muncul juara sebelum datang ke Terengganu.

Dengan hanya melakukan persiapan dan latihan singkat selama tiga minggu, barisan pemanah UPM, ujarnya, tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan cuaca walaupun diberikan tentangan pemanah tuan rumah.

"Saya sangat berpuas hati, khususnya prestasi dua atlet kebangsaan, Nur Aliya dan Ikram. Pencapaian ini satu perkembangan positif untuk Kejohanan Memanah Terbuka UPM, November ini," jelas Shahrulnizar.

Tempat kedua dan ketiga dimenangi pasukan tuan rumah, Excella Archery A yang memungut tiga pingat emas dan dua gangsa serta Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) UniSZA dengan kutipan dua pingat emas, lima perak dan lima gangsa.