Pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) Angels menepati ramalan apabila muncul juara Kejohanan Ragbi Super 8, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) buat kali keempat berturut-turut selepas mudah membenam cabaran Majlis Sukan Politeknik (MSP) Hornets 50- 0 dalam perlawanan akhir di Padang Ragbi UPM, semalam.

Bagi jurulatih UPM Angels, Khairizal Ali Mat, kejuaraan itu sememangnya cukup penting memandangkan UPM merupakan IPT yang dilantik untuk melaksanakan program Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS).

Dia yang tidak memandang rendah akan kemampuan lawan juga mengakui keputusan dalam aksi akhir itu menunjukkan piawaian yang tinggi telah ditetapkan oleh UPM dalam sukan ragbi negara.

“Taraf kami perlu tinggi kerana kami adalah pasukan PKS. Mata yang dicatat adalah bukti kemampuan yang dimiliki oleh pasukan PKS, begitu juga dengan cara permainan yang lebih kemas,” kata Khairizal.

Sementara itu, skuad MSP Hornets tetap berpuas hati dengan tempat kedua kerana kemaraan mereka ke perlawanan akhir sudah dianggap satu kejayaan.

Pasukan yang diwujudkan hasil gabungan enam politeknik dari seluruh negara itu menerima sentuhan jurulatih, Shafie Osman, dan dia gembira kerana anak buahnya mampu mengejutkan beberapa pasukan lebih berpengalaman seperti UITM Lions dalam separuh akhir.

“Perbezaan di antara MSP dan UPM jelas dapat dilihat. Mungkin kami boleh menjadikan skuad UPM sebagai panduan untuk terus meningkatkan pasukan kami,” ujar Shafie.