Keputusan ujian doping sampel B bagi atlet angkat berat negara, Mohd Hafifi Mansor, dijangka diketahui minggu ini.

Menurut Pemangku Setiausaha Kehormat, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Abu Hanapah Ismail, keputusan ujian itu akan mengambil sedikit masa berbanding ujian sampel A.

Sebelum ini, Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) menggantung sementara Hafifi selepas didapati menggunakan bahan terlarang jenis anabolic steroid oxymetholone ketika Terbuka Australia, Mac lalu.

"Untuk makluman, ujian sampel B ini memang memakan masa. Tetapi maklumat awal daripada pihak Program Podium, ia patut dihantar pada minggu ini. Saya pun masih menunggu keputusan rasmi.

"Saya sudah menghubungi pihak Presiden PABM (Datuk Ong Poh Eng), sehingga sekarang pun dia belum mendapat apa-apa jawapan daripada IWF," katanya.

Jika didapati gagal ujian sampel kedua itu, Hafifi berdepan hukuman penggantungan empat tahun kerana oxymetholone adalah bahan untuk meningkatkan prestasi yang meningkatkan pengeluaran sel darah merah dan menggalakkan pertumbuhan otot.

Sehubungan itu, IWF akan memaklumkan kepada PABM sebaik keputusan sampel B Hafifi disahkan.

"Ia akan dihantar terus kepada IWF dan satu salinan akan dihantar kepada PABM. Mungkin ia juga akan dihantar kepada ADAMAS (Agensi Anti-Doping Malaysia)," tambah Abu Hanapah.

Pada 7 November lalu, Hafifi terbang ke Sydney bagi menyaksikan ujian sampel B dilakukan.