Ujian sampel B dilakukan esok

Oleh Penulis Jemputan 10 Oktober 2017 147
Ujian sampel B dilakukan esok
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan ujian sampel B oleh atlet negara yang terbabit dengan kes doping dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur baru-baru ini akan dijalankan pada esok.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menyaksikan tiga atlet didapati gagal ujian doping dan salah satu daripadanya membabitkan atlet terjun negara.

Difahamkan atlet tersebut sudah berlepas ke New Delhi, India, bagi menyaksikan sendiri pembukaan sampel B manakala seorang lagi atlet mengambil keputusan untuk tidak mencabar keputusan sampel A.

Keputusan ujian berkenaan dijangka dapat diketahui dalam tempoh tiga hari.

"Atlet yang pertama telah membuat keputusan untuk mencabar ujian sampel B manakala dua lagi atlet akan menjalani ujian itu pada esok.

"Mereka hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana setiap atlet perlu sentiasa berhati-hati," kata Tunku Imran.

Tunku Imran berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, petang tadi dalam mesyuarat yang turut melibatkan pengerusi jawatankuasa doping Sukan SEA 2017, Datuk Dr SS Cheema.

Antara agenda utama yang dibincangkan adalah penyertaan atlet negara ke Sukan Olimpik musim sejuk di Pyeongchang, tahun depan.

Setakat ini, dua atlet telah melayakkan diri iaitu Jeffrey Webb dan Julian Yee bagi sukan luncur ais.

Dalam masa sama, MOM turut melantik Datuk Mumtaz Jaafar selaku ketua kontinjen negara bagi temasya berkenaan dengan ibu kepada Julian, Irene Cheow akan menjadi pengurus pasukan.

"Ia adalah hasil persetujuan dengan pihak tertinggi serta Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) yang berasakan Datuk Mumtaz adalah individu yang layak untuk menduduki jawatan tersebut."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen