Khabib Nurmagomedov dengan penuh beremosi mengumumkan persaraannya selepas menewaskan Justin Gaethje bagi menentukan juara kategori lightweight di UFC 254.

Khabib, juara tanpa kalah, kembali ke gelanggang buat pertama kali sejak kematian bapa dan jurulatihnya, Abdulmanap Nurmagomedov Julai lalu.

Abdulmanap meninggal dunia berikutan komplikasi dengan coronavirus dan anaknya, yang menewaskan Dustin Poirier dalam perlawanan terdahulu pada September 2019, dilaporkan pada awalnya enggan bertempur lagi.

Tetapi Khabib kembali beraksi di Abu Dhabi semalam dan mula mengatasi Gaethje dengan penuh bergaya, menang mengunci lawan di pusingan kedua.

Gaethje cuba menenangkan Khabib yang menitiskan air mata selepas perlawanan berakhir, dan masih lagi dalam Octagon, petinju MMA yang memiliki rekod 29-0 itu membuat pengumuman mengenai masa depannya.

"Hari ini mahu saya katakan ia adalah perlawanan terakhir saya," katanya. "Tidak mungkin saya akan datang ke sini tanpa ayah saya.


"Ketika UFC bertemu saya untuk berbincang mengenai Justin, saya bercakap dengan ibu saya selama tiga hari. Dia tidak mahu saya bertarung tanpa ayah.

"Saya berjanji ini adalah pertarungan terakhir saya. Sekiranya saya memberikan kata-kata saya, saya mesti mengikutinya."