Tunku Imran tetap mahu tinggalkan MOM

Oleh Penulis Jemputan 15 November 2017 316
Tunku Imran tetap mahu tinggalkan MOM
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, kekal dengan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MOM tahun depan.

Beliau berkata selepas sekian lama memimpin MOM, kini tiba masanya untuk memberi laluan kepada individu lain.

Beliau turut menyuarakan rasa bangganya terhadap pencapaian sukan negara selama hampir 20 tahun menerajui MOM.

"Saya membawa perubahan dan saya selalu menetapkan sasaran untuk diri saya apabila mencapai usia 70 tahun. Saya akan mencecah 70 tahun pada awal tahun depan. 

"Saya akan bersara daripada jawatan ini untuk memberi laluan kepada orang muda. Pada tahun depan, saya akan meninggalkan jawatan presiden yang dipegang selama 20 tahun," katanya.

Tunku Imran enggan menamakan siapa yang dirasakan layak menerajui MOM selepas ini. Bagaimanapun, beliau percaya badan itu tidak ketandusan tokoh yang mempunyai kredibiliti menggantikannya.

"Kita selalu mempunyai cukup calon. Anda perlu memahami ada orang baik di sekeliling. Sudah tentu saya tidak bimbang mengenainya," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penerimaan tajaan daripada Kumpulan Ambank selaku penaja utama Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Sports Excel 2017 di Kelab Golf & Country Glenmarie, dari 4 hingga 7 Disember ini.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen