Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja'afar, kekal dengan diplomasi untuk tidak menamakan sebarang calon pilihannya bagi menerajui badan induk itu bermula tahun depan.

Pemilihan MOM yang ditangguhkan ke Jun 2018 menyaksikan Tunku Imran tidak akan mempertahankan jawatan presiden selepas hampir 20 tahun menerajui badan itu.

Timbalan Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, disebut-sebut selaku calon pilihan bagi menduduki kerusi tertinggi badan induk itu dan bagi Tunku Imran, Norza adalah seorang timbalan yang baik dan menepati kriteria yang diperlukan.

"Norza adalah seorang individu yang dikenali ramai dan saya rasa dia boleh memegang tanggungjawab sekiranya diberikan, malah memberikan lebih daripada apa yang ada tetapi saya tetap tidak boleh menyebut nama sesiapa dalam konsep demokrasi yang dijalankan," kata Tunku Imran.

Di sebalik sokongan yang diterima, Norza enggan meletakkan dirinya sebagai pilihan bagi kerusi utama MOM itu.

Dia menganggap terlalu awal untuk berbicara mengenai posisi itu selain menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan MOM bagi menentukan siapa yang layak menggantikan Tunku Imran.

"Saya sangat menghargai komen-komen yang dikeluarkan oleh Tunku Imran dan juga menteri. Saya bersetuju dengan Tunku Imran yang mahukan proses pemilihan pada tahun depan dilakukan oleh perwakilan pada ketika itu," ujar Norza.