Lima atlet para daripada Program Podium yang menjalani latihan di Leipzig, Jerman dan dua atlet daripada program Majlis Sukan Negara (MSN) menjadi antara nama utama yang akan mengisi penyertaan Malaysia ke Kejohanan IPC Dubai pada Mac tahun depan.

Lima atlet yang bakal menjalani latihan awal tahun di Leipzig adalah Ziyad Zolkefli, Latif Romly, Siti Nor Radiah Ismail, serta dua nama baru di Program Podium, iaitu Mohamad Saifuddin Ishak dan Doriah Poulus.

Mereka bakal berlepas pada Februari depan dan menjalani latihan selama tiga minggu di sana sebelum dijadualkan ke Dubai untuk menyertai kejohanan IPC kali pertama bagi tahun 2018.

Persediaan awal kelima-lima atlet itu merujuk kepada kepentingan sumbangan pingat emas dalam Sukan Para Asia selain Latif dan Ziyad yang menggalas cabaran lebih berat untuk layak beraksi dalam Sukan Asia Indonesia pada Ogos 2018.

"Saya datang kali ini untuk melihat kekuatan pasukan dari Timur, Barat serta dari China. Itu akan memberikan pendedahan untuk atlet serta barisan jurulatih bagi menghadapi ujian sebenar pada Oktober depan," kata ketua jurulatih olahraga, R. Jegananthan.

Sementara itu, Afiq Ali Hanafiah dan Ahmad Solihim Mohd Noor turut berada dalam perancangan bagi aksi di Dubai sebagai persediaan akhir mereka untuk beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast Australia, April depan.

"Pada Mac, Solihim dan Afiq perlu menyertai kejohanan kerana berdepan aksi Sukan Komanwel pada April," tambahnya.