Tugasan paling mencabar perlu ditangani skuad bola jaring

Oleh Penulis Jemputan 1 Disember 2017 204
Tugasan paling mencabar perlu ditangani skuad bola jaring
Jurulatih skuad bola jaring negara, Choo Kon Lee, menyifatkan tugasan kali ini adalah yang paling mencabar sepanjang kariernya apabila hanya mempunyai tempoh empat hari untuk mempersiapkan skuad kebangsaan menghadapi Piala Negara-Negara di Singapura, Ahad ini. 

Kon Lee hanya sempat mengumpulkan pemain sejak 27 November lalu untuk menyediakan sebuah pasukan sebelum bertolak ke Singapura, hari ini. 

Namun, sebagai pengendali baru skuad negara, Kon Lee enggan menjadikan itu sebagai satu alasan buat Malaysia sambil menetapkan sasaran realistik untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir. 

Bukan sahaja menghadapi kekangan masa, mereka juga akan turun dengan reputasi sebagai juara Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Ini satu tanggungjawab yang berat dan pasti ramai yang akan memerhatikan kemampuan saya. Tetapi, saya berjanji akan membawa pasukan ini sebaik mungkin dan harapan saya, kami akan pulang dengan bangga," ujarnya. 

Dengan mempertaruhkan 12 pemain muda yang kurang berpengalaman di pentas antarabangsa, Kon Lee menyandarkan kemampuan pemain seperti Azilah Aziz dan Karishma Loganathan yang mempunyai pengalaman membarisi skuad senior. 

"Insya-Allah kami mampu pergi jauh. Biasalah prestasi kami akan ada turun naiknya, pemain muda perlu diberi pengalaman," kata ketua pasukan negara, Azilah. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen